PERANG HUNAIN 8H.udah merupakan kebiasaan Nabi, bilamana baginda
menaklukkan suatu wilayah,
secara peribadi baginda
mempelajari keadaan politik dan
agama penduduknya selama
baginda tinggal di situ. Sebelum meninggalkan tempat itu,
baginda melantik orang-orang
yang sesuai untuk berbagai
jawatan. Alasannya ialah bahawa
orang-orang di wilayah itu, yang
mengenali sistem lama yang batil, tidak mengenali sistem Islam yang
menggantikannya. Islam adalah
suatu sistem sosial, moral, politik,
dan agama, yang hukum-
hukumnya berasal dari wahyu. Untuk mengenalkan hukum-
hukum ini kepada manusia serta
penerapannya dalam praktik
diperlukan orang yang cekap,
cerdas dan berpengetahuan. Ia
harus mampu mengajarkan kepada mereka prinsip-prinsip
Islam yang benar secara bijak,
dan harus pula menerapkan
sistem Islam di tengah-tengah
mereka Ketika Nabi memutuskan hendak
berangkat dari Makkah menuju
wilayah suku Hawazin dan Tsaqif,
baginda melantik Mu’az bin Jabal
sebagai guru dan mengajari
umat, dan mengamanatkan pemerintahan kota itu dan imam
masjid kepada ‘Atab bin Usaid
yang cekap. Setelah tinggal di
Makkah selama lima belas hari,
Nabi berangkat menuju daerah
suku Hawazin.
Tentera yang Tiada Tandingan
Pada saat itu ada 12,000
tentera di bawah panji Nabi. Dari
jumlah itu, 10,000 orang
menyertainya dari Madinah dalam
pembebasan Makkah, sedang
yang 2,000 berasal dari kaum Quraisy Makkah yang baru
masuk Islam, dengan Abu Sufyan
sebagai pemimpinnya. Di masa itu, tentera sebesar itu
hampir tak pernah ada di Tanah
Arab. Namun, justeru kekuatan
jumlah mereka inilah yang
menjadi penyebab kekalahan
awal mereka. Sebabnya, berlainan dengan di masa lalu,
sekarang mereka membanggakan
diri kerana jumlahnya yang
besar. Akibatnya, mereka
mengabaikan taktik dan prinsip-
prinsip perang. Ketika para sahabat melihat
jumlah tentera yang besar itu
ada di antara mereka yang
berkata, “Sama sekali kita tak
akan kalah, kerana jumlah
tentera kita jauh lebih besar daripada musuh.” Namun, ia
tidak menyedari bahawa
keunggulan jumlah bukanlah
satu-satunya faktor penentu
kemenangan, dan sesungguhnya
faktor itu malah kurang penting. Al-Quran sendiri menyebutkan hal
ini yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah
menolong kamu (hai para
mukmin) di medan peperangan
yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di
waktu kamu menjadi bongkak
kerana banyaknya jumlahmu,
maka jumlah yang banyak itu
tidak memberi manfaat
kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas ini telah terasa sempit
olehmu, kemudian kamu lari ke
belakang dengan bercerai-
berai.” (Al Qasas : 85)
Mencari maklumat
Setelah pembebasan Makkah, api
perlawanan menyala di daerah-
daerah kediaman suku Hawazin
dan Tsaqif. Mereka menjalin
hubungan khusus di antara
mereka. Mata rantai penghubung di antara mereka ialah seorang
lelaki gemar berperang yang
bernama Malik bin ‘Aufan Nasri.
Hasil dari persekutuan mereka,
sebelum tentera Islam sempat
memberi perhatian kepada mereka, mereka sendiri telah
datang menghadapi tentera
Islam. Akibatnya, sebelum kaum
Muslimin bergerak, mereka
menyerang dengan keras melalui
suatu taktik tentera. Mereka juga telah memilih seorang lelaki
gagah berani berusia tiga puluh
tahun untuk bertindak sebagai
komando perang. Selain dari kedua-dua suku di
atas, suku Bani Hilal, Nasar, dan
Jasyam juga ikut serta dalam
pertempuran ini, dan semuanya
menjelma sebagai pasukan
pemukul yang padu. Sesuai perintah panglima
tertingginya, semua yang ikut
dalam pertempuran itu
menempatkan kaum wanita,
anak-anak, dan hartanya
dibelakang tentera. Ketika ditanya tentang alasan
keputusannya itu, Malik, sang
panglima mengatakan, “Kaum
lelaki ini akan tetap teguh dalam
pertempuran untuk melindungi
keluarga dan hartanya dan sama sekali tak akan berfikir untuk
melarikan diri atau mundur.” Ketika Duraid bin Sammah,
pejuang tua yang
berpengalaman, mendengar
ratapan kaum wanita dan anak-
anak, ia mengecam Malik. Ia
memandang tindakan Malik itu salah dari sisi prinsip perang, ia
berkata kepada Malik, ”Dengan
tindakan ini, apabila nanti kamu
dikalahkan maka kamu akan
menyerahkan semua wanita dan
harta kamu kepada tentera Islam secara borong.” Malik tidak mempedulikan kata-
kata tentera berpengalaman itu.
Ia mengatakan, “Kamu telah
menjadi tua dan telah kehilangan
kebijaksanaan dan pengetahuan
tentang taktik berperang.” Peristiwa kemudian membuktikan
bahawa orang tua itu benar.
Kehadiran wanita dan anak-anak
di medan perang, di mana orang
harus menyerang dan lari,
ternyata tak berguna, bahkan hanya mempersulit dan
menghalangi gerak tentera. Nabi mengutus Abdullah al-Aslami
secara rahsia untuk menghimpun
maklumat tentang peralatan,
niat, dan rancangan gerakan
musuh. Ia berkeliling di seluruh
tentera musuh itu sambil mengumpulkan maklumat yang
diperlukan, untuk kemudian
menyampaikannya kepada Nabi.
Sebaliknya, Malik juga mengirim
tiga orang perisik kepada kaum
Muslimin secara khusus untuk mendapatkan maklumat yang
diperlukan. Namun, mereka malah
kembali kepada Malik dengan hati
penuh takjub dan takut. Panglima pasukan musuh itu
memutuskan untuk menambah
bilangan tentera dan berusaha
mengatasi kelemahan moral
tenteranya dengan tipu daya
yang licik, yakni dengan melakukan serangan mengejut
dan menimbulkan kekacauan di
kalangan tentera Islam, agar
tentera Islam porak-
peranda.Untuk mencapai tujuan
itu, Malik berkhemah di hujung lembah yang mengarah ke
wilayah Hunain. Kemudian ia memerintahkan
semua tenteranya bersembunyi
di sebalik batu-batu dan celah-
celah bukit tinggi di sekitar
lembah itu. Begitu tentera Islam
tiba di lembah yang dalam dan panjang itu, mereka semua harus
keluar dari tempat
persembunyiannya lalu
menyerang kesatuan-kesatuan
tentera Islam dengan panah dan
batu. Setelah itu, suatu kelompok khusus harus turun
dari perbukitan secara teratur
dan menyerang kaum Muslimin
dengan pedang di bawah
perlindungan pasukan pemanah.
Serangan mengejut
Nabi menyedari kekuatan dan
strategi musuh. Oleh itu, sebelum
meninggalkan Makkah, baginda
memanggil Shafwan bin Umayyah,
lalu meminjam seratus baju
perang sambil menjamin pengembaliannya. Baginda sendiri
memakai dua baju perang dan
pelindung kepala. Sambil
menunggang keldai putih yang
telah dihadiahkan kepadanya,
baginda bergerak maju bersama tentera Islam. Tentera Islam beristirehat malam
hari dimulut lembah tadi. Sebelum
fajar sepenuhnya muncul,
pasukan Muslim dari suku Bani
Salim tiba di jalur Lembah Hunain
di bawah komando Khalid bin Walid. Ketika sebahagian besar
tentera Islam masih di dalam
lembah itu, tiba-tiba terdengar
bunyi riuh desiran panah dan
teriakan ramai pasukan musuh
yang sebelumnya telah duduk menghadang di sebalik batu-
batu. Ini menciptakan
kegemparan luar biasa di
kalangan kaum Muslimin. Panah menghujani mereka, dan
sekelompok musuh menyerang di
bawah lindungan para
pemanahnya. Serangan mengejut
ini menyebabkan kaum Muslimin
bertempiaran dan mereka segera mencari perlindungan.
Kekacauan dan perpecahan pun
timbul. Perkembangan ini sangat
menggembirakan kaum munafik
yang ada di antara tentera
Islam. Sebahagian berkata, “Kaum Muslimin akan melarikan
diri hingga ke pesisir laut.”
Seorang munafik lain
mengatakan, “Sihir telah
terlawan.” Yang lain bertekad
untuk menghabisi Islam dalam keadaan kacau itu dengan
membunuh Nabi untuk
menghancurkan keimanan
kepada Allah Yang Maha Esa dan
kenabian Islam sekaligus.
Ketabahan nabi dan sahabat
Nabi sangat terganggu oleh
larinya para tentera yang
merupakan penyebab utama
segala kegemparan dan
kekacauan itu. Baginda merasa
bahawa apabila keadaan itu dibiarkan, walaupun hanya
sebentar, jalannya sejarah
mungkin menjadi lain; pasukan
syirik akan menghancurkan
tentera tauhid. Oleh itu, sambil menunggang
keldainya, baginda berseru
dengan suara nyaring, “Hai
pembela Allah dan Nabi-Nya! Aku
hamba Allah dan Nabi-Nya.”
Baginda mengucapkan kalimat ini lalu memalingkan keldainya ke
medan pertempuran yang telah
diduduki tentera Malik.
Sekelompok orang siap
berkorban, seperti Ali, Abbas,
Fadhal bin Abbas, Usamah, dan Abu Sufyan bin Harits, yang tak
sudi membiarkan Nabi sendirian
tanpa perlindungan, juga maju
bersama Nabi. Nabi meminta Abbas, bapa
saudaranya, yang suaranya
amat keras, untuk memanggil
kembali kaum Muslimin yang
bertempiaran, “Hai Ansar yang
menolong Nabi-Nya! Hai kaum yang membai’at Nabi di bawah
pohon syurga! Kemana kamu
akan pergi? Nabi berada di sini!”
Kata-kata Abbas sampai ke
telinga kaum Muslimin dan
merangsang semangat dan ghairah keagamaan mereka.
Mereka semua segera
menyambut dengan mengatakan,
“Labbaik! Labbaik!” Lalu kembali
dengan gagah berani bersama-
sama Nabi. Seruan Abbas yang berulang-
ulang, yang memberi khabar
gembira tentang keselamatan
Nabi, membuat orang-orang yang
bertempiaran itu kembali kepada
Nabi dengan rasa penyesalan dan mengatur lagi barisannya. Sesuai
dengan perintah Nabi, dan untuk
menghapus noda malu kerana
melarikan diri itu, kaum Muslimin
melakukan suatu serangan
umum. Dan dalam waktu sangat singkat, mereka berhasil
memukul musuh mundur atau
melarikan diri. Untuk memberi
semangat kepada kaum Muslimin,
Nabi mengatakan, “Saya Nabi
Allah dan tak pernah berdusta, dan Allah telah menjanjikan
kemenangan kepada saya.” Taktik perang ini berhasil
membuat para pejuang Hawazin
dan Tsaqif melarikan diri ke
wilayah Autas dan Nakhlah dan
ke benteng Tha’if, dengan
meninggalkan kaum wanita dan harta mereka serta tenteranya
yang mati di medan
pertempuran.
Sumber:-Adeqshah.multiply